Rajin
Berusaha Tangga Kejayaan
Dunia
pada hari ini menyaksikan manusia berlumba-lumba untuk mengejar kemajuan demi
mencapai cita-cita dan dunia kerjaya masing-masing. Individu yang rajin
berusaha akan bergerak maju manakala yang malas atau berat tulang pula akan
ketinggalan dan mundur. Sehubungan dengan hal ini, manusia yang insaf dan sedar
mula bangkit untuk menimba ilmu pengetahuan disebabkan ilmu telah menjadi
ukuran bagi kejayaan dan kemajuan hidup seseorang di bumi ini. Pernah
orang tua-tua berkata bahawa orang yang tidak berilmu atau kedaifan ilmu ialah
orang yang tidak berjaya.
Sebenarnya,
setiap kejayaan yang kita kecapi bertitik tolak daripada daya usaha dan
kerajinan hidup bak kata rajin berusaha tangga kejayaan! Ketepatan maksud
kata-kata hikmat tersebut bersinonim pula dengan makna peribahasa Melayu, iaitu
“kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Jelaslah bahawa
kejayaan seseorang berpunca daripada kerajinan biarpun aspek kecerdasan dan
kebestarian akal tidak boleh diketepikan. Jangan biarkan kemalasan menjadi
penghalang kepada kemajuan dan kesejahteraan hidup kita.
Justeru,
setiap orang haruslah menyemaikan prinsip hidup yang terkandung di sebalik
maksud kata-kata hikmat tersebut. Bakat semula jadi dan ilmu yang ditimba di
alam persekolahan perlulah digilap dan diasah dengan kesungguhan, kecekalan dan
kerajinan sebelum kejayaan dan kecemerlangan dapat kita kecapi bak kata
peribahasa “belakang parang, kalau diasah lagikan tajam”. Oleh itu, kita
haruslah senantiasa bersikap rajin untuk mengejar cita-cita dan merealisasikan
impian kita.
Banyak
contoh pemimpin dunia yang berjaya disebabkan oleh kerajinan dan daya
kesungguhan diri mereka. Contohnya Abraham Lincoln. Presiden Amerika yang ke-16
ini, rajin menimba ilmu. Beliau suka membaca dan menjadikan budaya membaca
sebagai satu usaha mutlak untuk menimba ilmu dan pengalaman. Menurut beliau,
membaca akan mematangkan daya fikir manusia. Akhirnya, beliau telah berjaya
menjadi pemimpin Amerika yang terunggul dalam memperjuangkan kebebasan manusia
di jagat raya ini.
Sikap
rajin juga akan mendorong kita agar senantiasa berusaha dan tidak mudah
berputus asa dalam mengejar cita-cita. Kegagalan pula bukanlah bermaksud kita
akan terus gagal dalam kehidupan kita. Soalnya, kita hendaklah terus mencuba
dan mencuba lagi walaupun laluan yang kita lalui itu sukar dan mencabar.
Sesungguhnya, tidak ada apa-apa yang mustahil di dunia ini dan kerajinanlah
penawarnya yang paling mujarab di buana kehidupan insan. Rajin berusaha tangga
kejayaan.
.