Showing posts with label Karangan. Show all posts
Showing posts with label Karangan. Show all posts

Implikasi Penggunaan Telefon Bimbit Terhadap Pelajar Di Sekolah

Implikasi Penggunaan Telefon Bimbit Terhadap Pelajar Di Sekolah
§  Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, penggunaan telefon bimbit telah menjadi satu keperluan kepada kebanyakan umat manusia. Dahulu, hanya golongan kaya yang menggunakan telefon bimbit, tetapi kini, dalam kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik marcapada ini, kebanyakan golongan dewasa, remaja dan pelajar serta murid sekolah rendah juga berupaya menggunakan telefon bimbit. Remaja dan murid sekolah rendah turut mengikut jejak orang dewasa menggunakan telefon bimbit. Pernahkah terlintas dalam benak kita tentang implikasi penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar? Oleh hal yang demikian, implikasi baik dan buruk yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.

§  Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan telefon bimbit dapat mengeratkan silaturahim dan ukhuwah. Pelajar dapat berinteraksi dengan orang lain di segenap empat penjuru dunia pada bila-bila masa kerana segalanya di hujung jari. Selain itu, pelajar juga boleh menghantar mesej melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) atau Khidmat Pesanan Multimedia (MMS). Sebagai contoh, seorang mahasiswa yang melanjutkan pelajaran di Rusia dapat menghubungi keluarganya yang berada di Malaysia dengan menggunakan telefon bimbit. Sekiranya mahasiswa tersebut tidak mempunyai telefon bimbit, dia terpaksa menggunakan telefon awam di luar negara untuk menelefon ahli keluarganya. Intihanya, kita perlu mengapresiasikan penggunana telefon bimbit kerana afdal untuk mengukuhkan hubungan.

§  Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah penggunaan telefon bimbit juga menimbulkan impak negatif. Seyogianya pelajar perlu mengurangkan penggunakan telefon bimbit kerana penggunaan telefon bimbit merupakan pembaziran. Hal ini dikatakan demikian kerana golongan remaja seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang juga ingin mempunyai model telefon bimbit terbaru apabila melihat kawan lain juga memilikinya. Bukan itu sahaja, terdapat juga pelajar terpaksa menanggung bil telefon yang mahal kerana kerap menelefon dan berbualbual dengan kawan walaupun mengetahui kadar bayarannya. Sebenarnya, mereka sepatutnya mengukur baju di badan sendiri dan jangan nanti sudah terhantuk baru tengadah. Bak kata pepatah melayu,”ingat sebelum kena, jimat sebelum habis”. Oleh itu, pelajar harus mengurangkan penggunaan telefon bimbit supaya dapat mengelakkan pembaziran.

§  Penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar sememangnya menjejaskan pelajaran mereka. Hal ini berlaku kerana pelajar menggunakan telefon bimbit tanpa kawalan. Mereka sering menghantar mesej kepada kawan untuk perbualan kosong. Selain itu, kita acapkali tersentak dengan masalah “pasangan” yang berlaku di bangku sekolah. Penggunanan telefon bimbit dalam kalangan pelajar akan menimbulkan lagi masalah tersebut. Tambahan pula, sekiranya pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka tidak akan menumpukan perhatian untuk belajar tetapi leka dengan permainan video. Mereka juga terpaksa menanggung risiko kehilangan telefon bimbit. Konklusinya, pelajar tidak mementingkan pelajaran seandainya mereka mempunyai telefon bimbit.

§  Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, penggunaan telefon bimbit juga akan menjejaskan kesihatan pelajar. Kebanyakan perkhidamatan telefon bimbit seperti perkhidmatan telefon, GPRS(General Packet Radio Service), khidmat pesanan ringkas (Short Message Service, SMS), khidmat pesanan multimedia (Multimedia Message Service, MMS), dikenakan bayaran. Hal ini menyebabkan sesetengah pelajar sanggup mengikat perut dan berlapar untuk membayar bil telefon bimbit. Mereka telah menyalahgunakan wang saku yang diberi oleh ibu bapa mereka. Selain itu, telefon bimbit akan mengeluarkan gelombang semasa kita menjawab telefon dan akan mengganggu fungsi saraf otak sehingga menyebabkan barah atau kanser. Tuntasnya, pelajar sepatutnya tidak menggunakan telefon bimbit. Bak kata pepatah, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”.

§  Kesimpulannya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar mendatangkan lebih banyak kesan buruk daripada kesan baik. Pelajar seyogianya memanfaatkan kebaikan dan mengelakkan keburukan penggunaan telefon bimbit kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Bak kata pepatah, genggam bara api biarlah sampai jadi arang, justeru itu, langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik perlu dilaksanakan oleh semua pihak secara berterusan dan jangan sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja untuk membasmi masalah yang timbul ekoran daripada penggunaan telefon bimbit serta melahirkan remaja yang berwawasan kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

§  Era digital ini, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat dari semasa ke semasa. Menurut Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, secara purata, seorang rakyat Malaysia kini memiliki dua buah telefon bimbit. Statistik tersebut jelas menunjukkan bahawa telefon bimbit sememangnya menjadi satu keperluan dalam kehidupan kita. Barubaru ini, Kementerian Pelajaran Malaysia mengumumkan kebenaran kepada pelajar sekolah untuk membawa telefon bimbit ke sekolah mulai tahun hadapan. Pengumuman tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa dan guru. Hal ini demikian kerana terdapat implikasi-implikasi negatif penggunaan telefon bimbit dalam kalangan murid di sekolah.

§  Pertama sekali, pembawaan telefon bimbit ke sekolah akan meningkatkan kes kecurian di sekolah. Pelajar-pelajar sekolah sering menjadikan telefon bimbit sebagai lambang status diri mereka. Oleh itu, kebanyakan pelajar suka membeli telefon bimbit yang berharga tinggi. Namun begitu, terdapat segelintir pelajar yang panjang tangan dan mengambil kesempatan ini untuk menjalankan „operasi‟ mereka. Lebih membimbangkan lagi apabila terdapat pelajar yang sanggup mengugut dan merompak pelajarpelajar yang lebih muda daripada mereka. Keadaan ini akan meningkatkan kes buli dan seterusnya membebankan guru-guru disiplin.

§  Selain itu, pembelajaran di dalam kelas juga akan terganggu jika pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah. Hal ini demikian kerana pelajar kni sering gemar menghantar pesanan melalui sistem pesanan ringkas malah „berbual‟ dengan rakan-rakan mereka secara maya. Keadaan ini bertambah buruk apabila telefon bimbit dijadikan sebagai alat untuk meniru semasa peperiksaan. Pelajar akan bertukar jawapan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) sesama rakan-rakan mereka. Lebih-lebih lagi, nota-nota ringkas boleh disimpan dalam bentuk gambar dalam telefon bimbit dan digunakan untuk meniru semasa peperiksaan. Maka, pembelajaran melalui sistem peperiksaan hanya sia-sia jika pelajar dibenarkan untuk membawa telefon bimbit ke sekolah.

§  Di samping itu, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan murid di sekolah juga boleh menyebabkan mereka menyalahgunakannya untuk tujuan tidak berfaedah. Kepelbagaian teknologi telefon bimbit akan menyebabkan tunas-tunas yang baru sahaja mengenali dunia ini mudah terpengaruh dengan anasir negatif. Contohnya, pelajar-pelajar boleh memuat turun gambar-gambar lucah dan menyebarkannya dalam kalangan rakan-rakan mereka dengan hanya menekan beberapa butang. Bukan itu sahaja, malah sistem pesanan ringkas berantai pula akan memudahkan kegiatan gangsterisme dalam kalangan murid-murid sekolah. Keadaan ini seterusnya akan membantutkan usaha pelbagai pihak untuk melahirkan modal insan cemerlang untuk negara.

§  Intihanya,sememangnya terdapat pelbagai implikasi penggunaan telefon bimbit dalam kalangan murid di sekolah. Oleh itu, pihak kerajaan harus menitikberatkan langkah membenarkan pembawaan telefon bimbit ke sekolah kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunaya. Persepsi ibu bapa dan guru perlu diutamakan supaya kepputusan yang tepat dapat diambil dalam jangka masa yang pendek.
.


Kebaikan Amalan Berbelanja Secara Berhemah

Kebaikan Amalan Berbelanja Secara Berhemah
Pendahuluan: Maksud pengguna berhemah: pengguna yang bijak dalam merancang perbelanjaan, melakukan perbandingan harga dan meneliti maklumat produk – sebab masyarakat menjadi kurang berhemah: karnival beli-belah sepanjang tahun - terdapat pelbagai kebaikan amalan berbelanja secara berhemah
Isi 1: Menjimatkan wang perbelanjaan
a. Membeli barangan yang perlu sahaja – mengurangkan kos keseluruhan
b. Mencatat barangan yang hendak dibeli mengikut keutamaan – mengelakkan diri membeli barangan yang tidak perlu
c. Memilih untuk berbelanja di pasar raya besar ataupun pada masa harga runtuh
Isi 2: Menggalakkan amalan menabung
a. Menyimpan baki wang perbelanjaan – memperuntukkan sejumlah wang yang mesti disimpan daripada gaji bulanan – sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
b. Simpanan kecemasan – memerlukan pada waktu yang tidak diduga – misalnya kemalangan – malang tidak berbau
c. Simpanan pendidikan – untuk anak-anak yang akan menyambung pelajaran – contohnya Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)
Isi 3: Mengurangkan beban hutang
a. Berbelanja mengikut kemampuan – ukur baju di badan sendiri - membuang prinsip biar papa, asalkan bergaya – tidak membawa sebarang manfaat
b. Pengehadan penggunaan kad kredit – menyebabkan kita muflis - jangan berbelanja lebih daripada pendapatan – masuk tiga keluar empat – membebankan diri pada masa hadapan – memanggul beban hutang
Isi 4: Membantu negara mengurangkan masalah inflasi
a. Inflasi bermaksud kenaikan harga barangan secara berterusan di pasaran
b. Permintaan masyarakat yang berlebih-lebihan akan menyebabkan kadar inflasi terus meningkat –merugikan pengguna
Isi 5 : Mengelakkan ditipu oleh penjual yang tidak jujur
a. Mendaparkan maklumat tentang produk melalui media massa – akhbar, televisyen, internet tentang promosi hari raya – pengguna tidak ditipu
b. Membandingkan harga barangan – jaminan jenama dan kualiti– pengguna berhemah, negara sejahtera – mengelakkan penipuan
c. Melihat maklumat produk di bungkusan – tarikh luput – logo halal JAKIM - bahan kimia berbahaya
Penutup: Pengguna perlu berbelanja secara berhemah – banyak manfaat – kempen berjimat-cermat tidak berguna seandainya pengguna masih tidak mampu mengawal nafsu berbelanja - ingat sebelum kena, berjimat sebelum habis.
.

Ketagihan Internet


Ketagihan Internet
Perkembangan teknologi era ini amat pesat hingga manusia terutama di kalangan remaja terlalu obses hingga membimbangkan ramai pihak selain turut menyumbang punca kejatuhan moral.
Remaja zaman kini terlalu fanatik dengan pelbagai gajet canggih seperti Internet, telefon pintar dan penggunaan facebook hingga memberi impak negatif terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Antara impak paling ketara adalah komunikasi dalam kalangan masyarakat semakin pudar kerana taksub dengan teknologi setiap masa.
Ketaksuban pengguna laman Facebook juga boleh memberi implikasi negatif kerana dalam jangka masa panjang boleh menyebabkan ketagihan.
Obsesi melampau melayari Internet laman sosial dan permainan komputer boleh menjejaskan fungsi otak. Ketagihan ini boleh merubah otak dengan menjejaskan tumpuan dan mengurangkan aspek kepantasan reaksi atau rasa empati.
Individu boleh menjadi seorang yang dingin, tidak peka atau tidak sensitif dengan perasaan orang lain disebabkan fungsi otak mereka yang diubah kerana terlalu asyik dengan komputer.
Penyakit obses ini seumpama wabak penyakit yang jika tidak dikawal dan dirawat akan menjadi barah kepada masyarakat, sekaligus meruntuhkan masa depan negara.
Generasi muda adalah harapan dan penentu masa depan, justeru mereka perlu dilatih dan diasuh sebaik mungkin sebagai persediaan untuk memimpin sebuah negara yang bakal mencorakkan landskap jangka panjang.
Jika rosak akhlak, bermakna pemimpin negara yang akan datang juga terdiri daripada mereka yang tidak berkualiti dan tidak bermoral.
Obsesi ini dikatakan bermula dari rumah selain sikap ibu bapa yang seolah-olah menyokong dengan alasan untuk mengikuti perkembangan teknologi.
Akhirnya, jarak perhubungan semakin jauh kerana kurangnya komunikasi keluarga berbanding berkomunikasi dengan gajet.
Untuk mengelakkan senario ini menjadi semakin membimbingkan, remaja perlu digalakkan untuk membabitkan diri dalam perkara yang boleh memberi manfaat seperti pembabitan dalam kokurikulum selain aktiviti luaran yang mendekatkan mereka dengan masyarakat.
Diakuai, dari segi psikologi ia adalah cara terbaik untuk mengelak remaja obses dengan alat teknologi, selain mempertingkatkan nilai sosial atau nilai kemanusiaan dalam alam realiti.
Kajian membuktikan tubuh manusia akan lemah sekiranya terlalu lama didampingi peralatan teknologi masa kini. Sekiranya kita masih lagi tidak mengubah cara hidup untuk lebih sihat, hal ini akan mendatangkan mudarat kepada generasi akan datang.
Kurangkan beriadah secara ‘maya’, lebihkan interaksi secara realiti serta mengamalkan gaya hidup yang sihat. Mencegah lebih baik daripada merawat.

.

Rajin Berusaha Tangga Kejayaan

Rajin Berusaha Tangga Kejayaan
Dunia pada hari ini menyaksikan manusia berlumba-lumba untuk mengejar kemajuan demi mencapai cita-cita dan dunia kerjaya masing-masing. Individu yang rajin berusaha akan bergerak maju manakala yang malas atau berat tulang pula akan ketinggalan dan mundur. Sehubungan dengan hal ini, manusia yang insaf dan sedar mula bangkit untuk menimba ilmu pengetahuan disebabkan ilmu telah menjadi  ukuran bagi kejayaan dan kemajuan hidup seseorang di bumi ini. Pernah orang tua-tua berkata bahawa orang yang tidak berilmu atau kedaifan ilmu ialah orang yang tidak berjaya.
Sebenarnya, setiap kejayaan yang kita kecapi bertitik tolak daripada daya usaha dan kerajinan hidup bak kata rajin berusaha tangga kejayaan! Ketepatan maksud kata-kata hikmat tersebut bersinonim pula dengan makna peribahasa Melayu, iaitu “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”.  Jelaslah bahawa kejayaan seseorang berpunca daripada kerajinan biarpun aspek kecerdasan dan kebestarian akal tidak boleh diketepikan. Jangan biarkan kemalasan menjadi penghalang kepada kemajuan dan kesejahteraan hidup kita.
Justeru, setiap orang haruslah menyemaikan prinsip hidup yang terkandung di sebalik maksud kata-kata hikmat tersebut. Bakat semula jadi dan ilmu yang ditimba di alam persekolahan perlulah digilap dan diasah dengan kesungguhan, kecekalan dan kerajinan sebelum kejayaan dan kecemerlangan dapat kita kecapi bak kata peribahasa “belakang parang, kalau diasah lagikan tajam”. Oleh itu, kita haruslah senantiasa bersikap rajin untuk mengejar cita-cita dan merealisasikan impian kita.
Banyak contoh pemimpin dunia yang berjaya disebabkan oleh kerajinan dan daya kesungguhan diri mereka. Contohnya Abraham Lincoln. Presiden Amerika yang ke-16 ini, rajin menimba ilmu. Beliau suka membaca dan menjadikan budaya membaca sebagai satu usaha mutlak untuk menimba ilmu dan pengalaman. Menurut beliau, membaca akan mematangkan daya fikir manusia. Akhirnya, beliau telah berjaya menjadi pemimpin Amerika yang terunggul dalam memperjuangkan kebebasan manusia di jagat raya ini.
Sikap rajin juga akan mendorong kita agar senantiasa berusaha dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita. Kegagalan pula bukanlah bermaksud kita akan terus gagal dalam kehidupan kita. Soalnya, kita hendaklah terus mencuba dan mencuba lagi walaupun laluan yang kita lalui itu sukar dan mencabar. Sesungguhnya, tidak ada apa-apa yang mustahil di dunia ini dan kerajinanlah penawarnya yang paling mujarab di buana kehidupan insan. Rajin berusaha tangga kejayaan.
.

Makanan Segera : Kesan Buruk

Apabila ada ura-ura untuk mencadangkan pengharaman iklan makanan segera dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik oleh Kementerian Kesihatan, banyak pihak memberikan pandangan yang berbeza-beza. Pandangan tersebut sudah tentu bersifat positif dan negatif. Kebanyakan pandangan negatif adalah berkaitan dengan kesan negatif terhadap ekonomi. Justeru, pakar-pakar ekonomi berpendapat bahawa langkah tersebut sebagai suatu tindakan yang boleh memalapkan ekonomi terutama dalam industri pengiklanan. Dalam hal ini, golongan tersebut lupa bahawa tentang kerosakan dan komplikasi kesihatan yang berlaku apabila terlalu banyak makan makanan segera. Adakah demi kelok ekonomi, kita sanggup berkorban nyawa? Persoalan besar ini perlu direnungkan dengan sikap berlapang dada dan berpandangan jauh.
Trend masyarakat masa kini turut mendorong perkembangan drastik industri makanan segera. Masyarakat yang terlalu sibuk sama ada kesibukan tugas atau kesibukan yang berpunca daripada rentak kehidupan masyarakat moden mendorong mereka mencari jalan pintas dengan mengambil makanan segera sebagai alternatif daripada makanan berat. Padah yang paling buruk daripada sikap tersebut apabila sikap itu menjangkiti anak-anak pula. Jika beberapa dekad yang lalu, mi segera menjadi pilihan makanan segera, kini terdapat ribuan jenama dikeluarkan atas keperluan makanan segera. Selain kurang berkualiti dan kandungan zat makanan yang tidak seimbang, makanan segera banyak membawa mudarat sebagai akibat kandungan garam dan bahan pengawet yang berlebihan.
Pada hari ini, perkara yang membimbangkan berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, iaitu komplikasi kegemukan atau obesiti. Statistik sejak akhir-akhir ini menunjukkan bahawa 25 hingga 30 peratus kanak-kanak di Malaysia menghadapi masalah kegemukan. Bahaya kegemukan telah menjadi suatu sindrom baru rakyat Malaysia yang dikatakan berpunca daripada pengambilan berlebihan makanan segera yang mengandungi lemak dan gula yang tinggi. Makanan tersebut ialah aiskrim, makanan yang berasaskan marjerin dan minuman berkarbonat di dalam tin adalah antara makanan kegemaran kanak-kanak dan remaja kini. Bahaya yang paling serius daripada kegemukan ialah risiko peningkatan kolesterol dalam darah.
Komplikasi dan radang tiga serangkai iaitu darah tinggi, buah pinggang dan sakit jantung sentiasa menjadi perbualan hangat penyakit moden masa kini.Satu kajian yang dibuat oleh Pusat Pendidikan Pacific Health di Bakerfield, California dan Prevention Concepts Incorporated di Los Angeles yang melibatkan 200 pelajar sekolah menunjukkan bahawa sebanyak 8 orang mengambil lemak tepu yang berlebihan daripada makanan ringan yang disediakan. Selain itu, dalam mesyuarat Kolej Kardiologi Amerika di Anaheim melaporkan risiko remaja menghadapi sakit jantung daripada lebihan lemak tepu dan kolesterol yang terdapat dalam makanan segera adalah amat tinggi.
Otak sewajarnya lebih sihat. Peribahasa pun ada menyatakan bahawa "otak yang cerdas berada pada tubuh badan yang sihat". Walau bagaimanapun, kajian di Baycrest Centre di Universiti Toronto, Kanada merumuskan bahawa makanan segera boleh merosakkan fungsi otak. Hal ini berdasarkan kandungan makanan segera yang mengandungi lebihan lemak yang boleh merosakkan daya konsentrasi dan tahap ingatan. Otak memerlukan glukosa untuk berfungsi dengan baik, namun kandungan lemak yang terlalu banyak boleh mengganggu peranan glukosa. Kajian Profesor Greenwood dari Universiti Toronto menunjukkan bahawa makanan segera mengandungi kadar lemak dan protein yang tinggi serta kandungan karbohidrat yang rendah merupakan imbangan makanan yang tidak sesuai untuk perkembangan otak manusia.
Selain itu, pelbagai komplikasi lain turut mengancam pengambilan makanan segera. Ancaman tersebut ialah radang paru-paru yang boleh membawa kepada penyakit asma yang kronik. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh pakar saintis dari Scotland dan Arab Saudi dengan semua pengamal perubatan mendapati bahawa makanan ringan menjadi punca meningkatnya penyakit alahan dalam kalangan kanak-kanak. Kajian yang dilakukan terhadap 100 orang kanak-kanak yang mengambil makanan segera menunjukkan bahawa mereka kurang mengambil makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, vitamin E, zat-zat logam dan susu amat mudah menghadapi risiko diserang asma yang berlarutan.
Benarlah seperti telahan orang tua-tua, "jangan ambil senang jika tidak mahu susah". Inilah musibah apabila masyarakat terlalu memilih jalan mudah termasuk dalam hal makan minum. Makanan sebenarnya menjadi sumber untuk kesihatan dan kesejahteraan, malang sekali apabila makanan turut membawa kesengsaraan kepada manusia.
.


Gejala Ponteng Dalam Kalangan Pelajar

Gejala Ponteng Dalam Kalangan Pelajar
       Ponteng merupakan kekangan disiplin yang paling banyak berlaku dan sukar diatasi di sekolah. Antara lain, ponteng bagaikan satu indikator yang menanda aras kelemahan sistem pendidikan Malaysia yang diimplementasikan melalui Dasar Pendidikan Negara (DPN). Perang media menerusi akhbar, majalah, blog dan sebagainya telah pun meletus bagi membincangkan pro serta kontra kegiatan tidak bermoral ini. Walau bagaimanapun, pihak kerajaan sedang bergiat cergas dengan mengobservasi punca dan ikhtiar bagi menekan kemajuan polemik ini.

      Punca bercambahnya masalah ini termasuklah kurangnya didikan duniawi serta ukhrawi daripada ibu bapa. Hal ini berlaku kerana mereka terlalu ghairah mengejar kemewahan hinggakan sanggup mempedulikan asas kehidupan serta dasar keagamaan anak-anak mereka. Bahkan mereka tidak arif bahawa pengabaian inilah yang bakal merosakkan anak bangsa kita. Persis slogan 'pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara', ibu bapa hendaklah mengawasi pergerakan dan pergaulan anak-anak mereka supaya terhindar daripada maksiat seterusnya mengatur strategi kehidupan anak-anak mereka supaya dapat menjadi tonggak negara pada masa akan datang.

      Pemuda watan kita sering tersilap memilih jalan seperti peribahasa menyebut 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak langkah buruk padahnya'. Hal ini disebabkan, remaja marcapada lebih cenderung  memilih rakan yang mengikut trend walhal budaya yang disalurkan adalah negatif. Sudah terlalu menggunung budaya barat yang diisi dalam kotak pemikiran kita sehinggakan kita terlupa kepada budaya asal. Dasar remaja pula, mereka mahukan sesuatu yang lebih menarik dan mengikut peredaran zaman. Jadi apabila wujudnya pengaruh rakan sebaya, mudahlah baginya untuk turut serta dan mencuba perkara baru. Pemilihan kawan yang baik dapat mencorakkan kehidupan kita ke aras yang lebih sempurna.

      Di samping itu, peranan media juga menjadi tulang belakang kepada kegawatan ini. Media kini lebih gemar memaparkan program-program yang bertentangan dengan norma masyarakat lokalEksploitasi seks terhadap wanita dalam iklan-iklan sebagai intiha, memesongkan iman para remaja seterusnya menyebabkan mereka berpotensi untuk terjerumus ke lembah kehinaan. Selain itu, penapisan filem serta drama dianggap masih longgar kerana wujud adegan-adegan separa lucah yang dapat meracun minda remaja kita. Oleh yang demikian, remaja seringkali terikut-ikut dengan paparan negatif yang jelas berbanding kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P).

       Bagi menangani punca-punca ini, pelbagai inisiatif telah diambil oleh variasi pihak. Antara cara demi menangani polemik sosial ini ialah mengadakan sesi kaunseling yang melibatkan pihak sekolah, ibu bapa dan remaja itu sendiri. Menerusi pendekatan ini, masalah yang menyebabkan seseorang pelajar ponteng dapat dikesan. Pihak kaunselor harus menerangkan impak negatif aktiviti ponteng supaya pelajar tersebut sedar dan berhati-hati menongkah arus kehidupannya. Hal ini dilihat berkesan demi mengurangkan kadar pertambahan bilangan pelajar yang ponteng sekolah, kerana peribahasa ghalib menyebut "sediakan payung sebelum hujan". Makanya, apabila pihak yang berkenaan sudah mengetahui punca-punca gejala ponteng, usaha membanteras juga lebih efektif.

    Seterusnya, para pelajar haruslah faham bahawa gejala ponteng bukanlah aktiviti yang menjamin masa depan. Sepatutnya, masa yang terluang diisi dengan ilmu dan pengajaran sebagai bekalan untuk masa hadapan. Pihak kerajaan pula perlulah menitikberatkan peraturan dan undang-undang kerana para pelajar dilihat memandang sebelah mata akan peraturan sekolah seolah-olah tiada mata yang melihat pergerakan mereka. Apabila peraturan dan hukuman dilaksanakan, pelajar-pelajar akan tergerak daripada mimpi dan sedar bahawa kebebasan yang dikecapi adalah terhad.

        Tuntasnya, semua pihak terutamanya pelajar sendiri haruslah bertanggungjawab membaik pulih sistem pendidikan negara agar dapat memacu kejayaan negara seterusnya bersaing dengan kuasa besar antarabangsa yang lain. Janganlah kita menjatuhkan air muka negara sendiri tatkala rumpun lain asyik memperlekehkan kemampuan kita. Sesungguhnya pentarbiahan yang sempurna menjamin keterjelmaan negara seiring dengan Gagasan 1Malaysia.

.

Kepentingan Memulihara Bangunan Bersejarah

Kepentingan Memulihara Bangunan Bersejarah
Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia wujud daripada ketamadunan silam iaitu Kesultanan Melayu Melaka dan kerajaan awal, seperti Kerajaan Langkasuka, Kerajaan Kedah Tua. Sementara itu, beberapa kerajaan lain di pantai Timur Semenanjung.  Malaysia pernah dijajah selama 446 tahun dan akhirnya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.  Sejarah penubuhan kerajaan ini pastinya banyak meninggalkan bangunan bersejarah sama ada yang bercirikan tempatan mahupun Eropah. Sejak UNESCO mengiktiraf bandar Melaka dan Georgetown sebagai bandar warisan bersejarah atau tapak warisan dan ketamadunan dunia, barulah timbul kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan bersejarah.  Menyedari hakikat ini, pihak kerajaan telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar bagi memulihara bangunan bersejarah. Persoalannya, apakah kepentingan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah dalam konteks Malaysia?
Salah satu kepentingan bangunan bersejarah atau monumen ialah, dapat dijadikan sebagai bukti kukuh tentang peristiwa sejarah yang telah berlaku kepada generasi akan datang.  Kita sedia maklum bahawa bangunan bersejarah atau monumen  bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang tokoh yang telah berjasa atau peristiwa penting yang pernah berlaku.  Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama lebih daripada 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda, dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga serta dilestarikan.  Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, metos atau legenda semata-mata.  Sebagai contoh, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerabang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St. Paul.  Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling,Gereja St. Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah dijajah pada suatu masa dahulu dan juga dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal, pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18.  Tegasnya, bangunan bersejarah dan monumen lama amat penting sebagai bahan bukti yang kukuh tentang peristiwa yang telah berlaku untuk ditunjukkan kepada generasi akan datang.
Selain itu, bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya golongan remaja.  Kita sedia maklum bahawa remaja pada hari ini kurang mempunyai kesedaran diri terutamanya berkaitan dengan sejarah Malaysia.  Dengan adanya bangunan bersejarah di negara kita. Sekurang-kurangnya mereka dapat menjadikannya sebagai panduan hidup mereka.  Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar.  Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepimpinan dan juga kelemahan tentera yang mengawal Melaka.  Jika kita menghayati sejarah, di sebalik bangunan tersebut serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang berlaku maka kita dapat terus mara tanpa mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh masyarakat terdahulu.  Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara, namun kita tidak harus menjadikannya sebagai halangan untuk mencapai kejayaan.  Negara kita juga mampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil ikhtibar daripada sejarah silam negara.  Tuntasnya, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya dapat memberi ikhtibar dan pengajaran kepada generasi muda kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Di samping itu, bangunan bersejarah dan monumen memberi banyak manfaat dari sudut pelancongan.  Hal ini demikian kerana bangunan bersejarah dapat menarik pelancong sama ada pelancong tempatan mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat negara kita. Kita sedia maklum bahawa bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan kehebatan bangunan yang moden seperti Menara Berkembar Petronas.  Kehalusan seni bina dan keunikan reka bentuk bangunan tersebut mampu menjadi tarikan para pelancong untuk berkunjung ke tempat-tempat tersebut.  Sebagai contoh, bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur mempunyai unsur seni yang tiada tolok bandingnya.  Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan menyaksikan monumen-monumen yang terdapat di  lokasi yang dikunjungi di samping menyaksikan keindahan alam semula jadi dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis.  Oleh itu, bangunan bersejarah perlu dipulihara  dan diubah suai.  Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan.  Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah, Perancis, Itali dan Belanda.  Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik.  Usaha seperti ini dapat menarik pelancong dari seluruh dunia dengan lebih banyak dan dapat menjadi sumber pendapatan negara.  Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.
Seterusnya, pemuliharaan bangunan bersejarah juga penting sebagai salah satu cara untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.  Kita sedia maklum bahawa bangunan bersejarah amat penting kerana semangat patriotisme dalam kalangan remaja sejak belakangan ini semakin menipis.  Dalam konteks ini, bangunan bersejarah perlu dikekalkan untuk menjadi tatapan dan penghayatan generasi muda.  Sebagai contoh, Kota A Famosa di Melaka dan Kota Cornwallis di Pulau Pinang dapat mengingatkan kita tentang usaha mempertahankan kedaulatan negeri Melaka dan Pulau Pinang pada zaman penjajahan dahulu.  Tinggalan sejarah ini boleh mengingatkan  generasi muda tentang segala pahit maung yang dilalui oleh pejuang nasionalis ketika memerdekakan tanah air.  Peribahasa Melayu biar putih tulang jangan putih mata sentiasa tersemat di dalam hati para pejuang negara ketika itu.  Secara tidak langsung, hal ini dapat mencelikkan minda generasi muda agar  sentiasa berwaspada terhadap musuh negara yang sentiasa mencari peluang untuk menjajah negara kita sekali gus berjuang bermati-matian untuk ibu pertiwi daripada dicerobohi oleh kuasa asing.  Oleh itu, bangunan bersejarah penting dalam memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda bagi mempertahankan negara kita  yang tercinta.
Ada pendapat mengatakan bahawa, bangunan dan monumen lama juga turut memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara  kita khususnya kepada para pelajar dan penyelidik.  Kita sedia maklum bahawa pelbagai ilmu akan dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama.  Sebagai contoh, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu.  Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19.  Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Raja Laut pada tahun 1897.  Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper.  Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah dapat memberi maklumat kepada pelajar tentang peristiwa yang pernah berlaku di negara kita kerana tak kenal maka tak cinta.  Sesungguhnya, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri dan menjadi bahan rujukan kepada pelajar dan penyelidik.
Sebagai penghias bicara akhir,  bangunan bersejarah amat vital dalam pembentukan minda generasi muda terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara.  Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi.  Bangunan bersejarah juga akan memangkin jiwa generasi muda agar lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara.  Hal ini akan membentuk masyarakat yang  sensitif akan sebarang usaha untuk merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah.  Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah yang perlu dikekalkan.  Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan dan memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang.  Cintailah sejarah ibu pertiwi kita demi kemantapan perjuangan rakyat kita kerana nilai sejarah tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.