Kepentingan Memulihara Bangunan
Bersejarah
Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia wujud daripada
ketamadunan silam iaitu Kesultanan Melayu Melaka dan kerajaan awal, seperti
Kerajaan Langkasuka, Kerajaan Kedah Tua. Sementara itu, beberapa kerajaan lain
di pantai Timur Semenanjung. Malaysia pernah dijajah selama 446 tahun dan
akhirnya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Sejarah penubuhan
kerajaan ini pastinya banyak meninggalkan bangunan bersejarah sama ada yang
bercirikan tempatan mahupun Eropah. Sejak UNESCO mengiktiraf bandar Melaka dan
Georgetown sebagai bandar warisan bersejarah atau tapak warisan dan ketamadunan
dunia, barulah timbul kesedaran tentang kepentingan bangunan-bangunan
bersejarah. Menyedari hakikat ini, pihak kerajaan telah memperuntukkan
sejumlah dana yang besar bagi memulihara bangunan bersejarah. Persoalannya,
apakah kepentingan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah dalam konteks
Malaysia?
Salah satu kepentingan bangunan bersejarah atau monumen ialah,
dapat dijadikan sebagai bukti kukuh tentang peristiwa sejarah yang telah
berlaku kepada generasi akan datang. Kita sedia maklum bahawa bangunan
bersejarah atau monumen bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati
seseorang tokoh yang telah berjasa atau peristiwa penting yang pernah
berlaku. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama lebih
daripada 50 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti
British, Belanda, dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga serta
dilestarikan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk
generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan
bangunan bersejarah kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah
dibukukan oleh penulis-penulis yang terkenal merupakan sesuatu yang realistik
dan bukanlah cerita-cerita dongeng, metos atau legenda semata-mata.
Sebagai contoh, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan
abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerabang Porta de Santiago,
Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St. Paul. Selain itu, Kota Cornwallis,
Masjid Kling,Gereja St. Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali
detik-detik sejarah negara yang pernah dijajah pada suatu masa dahulu dan juga
dapat membuktikan berlakunya penjajahan awal, pemerintahan British di
Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, bangunan
bersejarah dan monumen lama amat penting sebagai bahan bukti yang kukuh tentang
peristiwa yang telah berlaku untuk ditunjukkan kepada generasi akan datang.
Selain itu, bangunan bersejarah dan monumen lama dapat
memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya golongan
remaja. Kita sedia maklum bahawa remaja pada hari ini kurang mempunyai
kesedaran diri terutamanya berkaitan dengan sejarah Malaysia. Dengan
adanya bangunan bersejarah di negara kita. Sekurang-kurangnya mereka dapat
menjadikannya sebagai panduan hidup mereka. Sebagai contohnya, Kota A
Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina
oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar.
Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan
kepimpinan dan juga kelemahan tentera yang mengawal Melaka. Jika kita
menghayati sejarah, di sebalik bangunan tersebut serta mengambil pengajaran
daripada peristiwa yang berlaku maka kita dapat terus mara tanpa mengulangi
kesilapan yang dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Walaupun ada antara
bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara, namun kita
tidak harus menjadikannya sebagai halangan untuk mencapai kejayaan.
Negara kita juga mampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju
yang lain sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil ikhtibar daripada
sejarah silam negara. Tuntasnya, bangunan bersejarah di negara kita
sememangnya dapat memberi ikhtibar dan pengajaran kepada generasi muda kerana
yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
Di samping itu, bangunan bersejarah dan monumen memberi banyak
manfaat dari sudut pelancongan. Hal ini demikian kerana bangunan
bersejarah dapat menarik pelancong sama ada pelancong tempatan mahupun
pelancong dari luar negara untuk melawat negara kita. Kita sedia maklum bahawa
bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara
kita selain menyaksikan kehebatan bangunan yang moden seperti Menara Berkembar
Petronas. Kehalusan seni bina dan keunikan reka bentuk bangunan tersebut
mampu menjadi tarikan para pelancong untuk berkunjung ke tempat-tempat
tersebut. Sebagai contoh, bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur mempunyai
unsur seni yang tiada tolok bandingnya. Di samping itu, pelancong juga
dapat melawat bangunan bersejarah dan menyaksikan monumen-monumen yang terdapat
di lokasi yang dikunjungi di samping menyaksikan keindahan alam semula
jadi dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis. Oleh itu,
bangunan bersejarah perlu dipulihara dan diubah suai. Sebagai
contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri
seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara
biasa di beberapa buah negara Eropah, Perancis, Itali dan Belanda.
Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford dan Cambridge di England
telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka
dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik pelancong dari seluruh dunia
dengan lebih banyak dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Oleh itu,
bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri
pelancongan negara.
Seterusnya, pemuliharaan bangunan bersejarah juga penting
sebagai salah satu cara untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan
generasi muda. Kita sedia maklum bahawa bangunan bersejarah amat penting
kerana semangat patriotisme dalam kalangan remaja sejak belakangan ini semakin
menipis. Dalam konteks ini, bangunan bersejarah perlu dikekalkan untuk
menjadi tatapan dan penghayatan generasi muda. Sebagai contoh, Kota A
Famosa di Melaka dan Kota Cornwallis di Pulau Pinang dapat mengingatkan kita
tentang usaha mempertahankan kedaulatan negeri Melaka dan Pulau Pinang pada
zaman penjajahan dahulu. Tinggalan sejarah ini boleh mengingatkan
generasi muda tentang segala pahit maung yang dilalui oleh pejuang nasionalis
ketika memerdekakan tanah air. Peribahasa Melayu biar putih tulang jangan
putih mata sentiasa tersemat di dalam hati para pejuang negara ketika
itu. Secara tidak langsung, hal ini dapat mencelikkan minda generasi muda
agar sentiasa berwaspada terhadap musuh negara yang sentiasa mencari
peluang untuk menjajah negara kita sekali gus berjuang bermati-matian untuk ibu
pertiwi daripada dicerobohi oleh kuasa asing. Oleh itu, bangunan
bersejarah penting dalam memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi
muda bagi mempertahankan negara kita yang tercinta.
Ada pendapat mengatakan bahawa, bangunan dan monumen lama juga
turut memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita
khususnya kepada para pelajar dan penyelidik. Kita sedia maklum bahawa
pelbagai ilmu akan dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan
monumen lama. Sebagai contoh, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan
air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai
Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja
kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan
kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan
Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial
dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah
Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan
pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Raja Laut
pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang
inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan
dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah dapat memberi maklumat kepada
pelajar tentang peristiwa yang pernah berlaku di negara kita kerana tak
kenal maka tak cinta. Sesungguhnya, bangunan bersejarah dan
monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri dan menjadi bahan rujukan
kepada pelajar dan penyelidik.
Sebagai
penghias bicara akhir, bangunan bersejarah amat vital dalam pembentukan
minda generasi muda terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah
negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut
dipelihara dan diwarisi. Bangunan bersejarah juga akan memangkin jiwa
generasi muda agar lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah
negara. Hal ini akan membentuk masyarakat yang sensitif akan
sebarang usaha untuk merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah.
Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah yang
perlu dikekalkan. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan
dan memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan
undang-undang. Cintailah sejarah ibu pertiwi kita demi kemantapan
perjuangan rakyat kita kerana nilai sejarah tak lapuk dek hujan dan tak
lekang dek panas.