Cara-Cara Membahagiakan Ibu Bapa
Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan
membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Ajaran Islam meletakkan ibu
bapa pada kedudukan yang mulia.
Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu
dalam bentuk metarial dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal
ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.
Terdapat sekurang-kurangnya 10 bakti perlu dilakukan setiap anak
terhadap ibu bapa.
1.Memberi nafkah. Terdapat ibu bapa yang berdepan dengan masalah
kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor
usia. Kalaupun berkerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan
keluarga yang semakin meningkat.
Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan
kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang
dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.
2.Menyediakan tempat tinggal. Dalam kes ibu bapa yang hilang
tempat tinggal, atau tidak sesuai untuk didiami, adalah menjadi tanggungjawab
anak menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kepada ibu bapa.
Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat
menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.
3.Memberi kasih sayang. Kasih sayang adalah sebagai membalas
kasih sayang yang selama ini telah dicurahkan ibu bapa. Kasih sayang ibu dan
bapa tidak pernah padam terhadap anaknya. Jadi seharusnya kasih sayang itu
dibalas dengan sebaik-baiknya.
Anak yang baik tidak melupai jasa dan kasih sayang kedua ibu
bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati
dan dicucuri rahmat.
Firman Allah bermaksud: ?Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada
mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan
mendidikku ketika kecil.? (Surah al-Isra, ayat 24).
4.Memberi perhatian. Ibu bapa yang diabaikan akan merasai
kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak diperdulikan. Hal ini
memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika
berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.
Penerapan amalan memberi perhatian terhadap ibu bapa perlu
disemai, dibajai serta disuburkan dalam kehidupan masyarakat kita. Kes anak
yang membuang ibu bapa semakin meningkat. Anak memandang jijik terhadap ibu
bapa sendiri.
Banyak ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah rumah
penjagaan orang-orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu
menjaga ibu bapa. Sedangkan, ibu bapa mampu menjaga dan membesarkan beberapa
orang anak.
5.Memenuhi permintaan. Ibu bapa seringkali memerlukan bantuan
anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk
kewangan, tenaga dan masa.
Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding
melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik
berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat, dan seumpamanya.
Malah keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama berjihad di
medan perang. Diriwaytkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: ?Saya
telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah??
Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa??
tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya
bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.
6.Melakukan apa yang disukai. Ibu bapa sudah tentu mengharapkan
anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara
yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka.
Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam
kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan
tidak terlepas di akhirat.
Sabda Rasulullah bermaksud: Dua kejahatan yang disegerakan balasan
di dunia ialah zina dan menderhaka kepada dua ibu bapa.(Hadis riwayat Tirmizi).
Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: Semua dosa
akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari
kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya
Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.
7.Bercakap dengan lemah lembut. Satu cara menjaga perasaan ibu
bapa ialah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendaklah direndahkan dan
jangan membantah permintaan mereka.
Firman Allah bermaksud: Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu
tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang
tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua,
janganlah sekali-kali engkau berani berkata cis! terhadap mereka dan janganlah
engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah
lembut. (Surah al-Israk, ayat 23).
Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan
suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam
diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian
jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan
sebenar.
8.Menghadiahkan kejayaan. Ibu bapa sentiasa mengharapkan
kejayaan anak mereka. Anak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai
kejayaan agar dapat dikongsi kegembiraannya bersama-sama dengan ibu bapa.
Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan,
dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu
bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu.
9.Meluangkan masa bersama-sama. Anak yang tinggal berasingan
dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi ibu bapa. Ibu bapa
berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.
10.Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa. Anak perlu sentiasa
mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa
perlu diteruskan biarpun ibu bapa telah meninggal dunia.
Sabda Rasulullah bermaksud: Apabila meninggal seseorang itu,
maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah
yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada
orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua
ibu bapanya. (Hadis riwayat Muslim).
Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil
Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti
sepanjang hayatnya.
Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu
bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya
semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum
terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup.
Kita selalu melihat dia ketawa,tetapi mungkin sebenarnya dia
tidak setabah yang kita sangkakan.Di sebalik senyumannya mungkin banyak cerita
sedih yang ingin diluahkan.Di sebalik kesenangannya mungkin tersimpan seribu
kekalutan..Kita tidak tahu.Tetapi jika kita cuba jadi sahabat
sepertinya,mungkin kita akan tahu.
.