Apabila ada ura-ura untuk mencadangkan pengharaman iklan makanan
segera dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik oleh
Kementerian Kesihatan, banyak pihak memberikan pandangan yang berbeza-beza.
Pandangan tersebut sudah tentu bersifat positif dan negatif. Kebanyakan
pandangan negatif adalah berkaitan dengan kesan negatif terhadap ekonomi.
Justeru, pakar-pakar ekonomi berpendapat bahawa langkah tersebut sebagai suatu
tindakan yang boleh memalapkan ekonomi terutama dalam industri pengiklanan.
Dalam hal ini, golongan tersebut lupa bahawa tentang kerosakan dan komplikasi
kesihatan yang berlaku apabila terlalu banyak makan makanan segera. Adakah demi
kelok ekonomi, kita sanggup berkorban nyawa? Persoalan besar ini perlu
direnungkan dengan sikap berlapang dada dan berpandangan jauh.
Trend masyarakat masa kini turut mendorong perkembangan drastik
industri makanan segera. Masyarakat yang terlalu sibuk sama ada kesibukan tugas
atau kesibukan yang berpunca daripada rentak kehidupan masyarakat moden mendorong
mereka mencari jalan pintas dengan mengambil makanan segera sebagai alternatif
daripada makanan berat. Padah yang paling buruk daripada sikap tersebut apabila
sikap itu menjangkiti anak-anak pula. Jika beberapa dekad yang lalu, mi segera
menjadi pilihan makanan segera, kini terdapat ribuan jenama dikeluarkan atas
keperluan makanan segera. Selain kurang berkualiti dan kandungan zat makanan
yang tidak seimbang, makanan segera banyak membawa mudarat sebagai akibat
kandungan garam dan bahan pengawet yang berlebihan.
Pada hari ini, perkara yang membimbangkan berlaku dalam kalangan
kanak-kanak dan remaja, iaitu komplikasi kegemukan atau obesiti. Statistik
sejak akhir-akhir ini menunjukkan bahawa 25 hingga 30 peratus kanak-kanak di
Malaysia menghadapi masalah kegemukan. Bahaya kegemukan telah menjadi suatu
sindrom baru rakyat Malaysia yang dikatakan berpunca daripada pengambilan
berlebihan makanan segera yang mengandungi lemak dan gula yang tinggi. Makanan
tersebut ialah aiskrim, makanan yang berasaskan marjerin dan minuman
berkarbonat di dalam tin adalah antara makanan kegemaran kanak-kanak dan remaja
kini. Bahaya yang paling serius daripada kegemukan ialah risiko peningkatan
kolesterol dalam darah.
Komplikasi dan radang tiga serangkai iaitu darah tinggi, buah
pinggang dan sakit jantung sentiasa menjadi perbualan hangat penyakit moden
masa kini.Satu kajian yang dibuat oleh Pusat Pendidikan Pacific Health di
Bakerfield, California dan Prevention Concepts Incorporated di Los Angeles yang
melibatkan 200 pelajar sekolah menunjukkan bahawa sebanyak 8 orang mengambil
lemak tepu yang berlebihan daripada makanan ringan yang disediakan. Selain itu,
dalam mesyuarat Kolej Kardiologi Amerika di Anaheim melaporkan risiko remaja
menghadapi sakit jantung daripada lebihan lemak tepu dan kolesterol yang
terdapat dalam makanan segera adalah amat tinggi.
Otak sewajarnya lebih sihat. Peribahasa pun ada menyatakan
bahawa "otak yang cerdas berada pada tubuh badan yang sihat". Walau
bagaimanapun, kajian di Baycrest Centre di Universiti Toronto, Kanada
merumuskan bahawa makanan segera boleh merosakkan fungsi otak. Hal ini
berdasarkan kandungan makanan segera yang mengandungi lebihan lemak yang boleh
merosakkan daya konsentrasi dan tahap ingatan. Otak memerlukan glukosa untuk
berfungsi dengan baik, namun kandungan lemak yang terlalu banyak boleh
mengganggu peranan glukosa. Kajian Profesor Greenwood
dari Universiti Toronto menunjukkan bahawa makanan segera mengandungi kadar
lemak dan protein yang tinggi serta kandungan karbohidrat yang rendah merupakan
imbangan makanan yang tidak sesuai untuk perkembangan otak manusia.
Selain itu, pelbagai komplikasi lain turut mengancam pengambilan
makanan segera. Ancaman tersebut ialah radang paru-paru yang boleh membawa
kepada penyakit asma yang kronik. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh pakar
saintis dari Scotland dan Arab Saudi dengan semua pengamal perubatan mendapati
bahawa makanan ringan menjadi punca meningkatnya penyakit alahan dalam kalangan
kanak-kanak. Kajian yang dilakukan terhadap 100 orang kanak-kanak yang
mengambil makanan segera menunjukkan bahawa mereka kurang mengambil makanan
seperti buah-buahan, sayur-sayuran, vitamin E, zat-zat logam dan susu amat
mudah menghadapi risiko diserang asma yang berlarutan.
Benarlah seperti telahan orang tua-tua, "jangan ambil
senang jika tidak mahu susah". Inilah musibah apabila masyarakat terlalu
memilih jalan mudah termasuk dalam hal makan minum. Makanan sebenarnya menjadi
sumber untuk kesihatan dan kesejahteraan, malang sekali apabila makanan turut
membawa kesengsaraan kepada manusia.
.