BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA

BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA

SINOPSIS


Cerita memaparkan percubaan raja Siam, Bubunnya hendak menyerang kerajaan Melaka yang tidak kesampaian kerana kebijaksanaan pemerintah dan kesaktian hulubalang Melaka.


Ceritanya bermula pada zaman dahulu kala negeri Siam yang dikenali sebagai Syahrunnuwi begitu kuat sehingga semua kerajaan bawah angin telah ditakluki oleh Siam kecuali kerajaan Melaka. Apabila Melaka yang diperintah oleh Sultan Muzaffar Syah enggan memberi surat sebagai tanda tunduk kepada Siam, raja Siam telah menyuruh panglimanya Awi Cakri membawa hulubalang dan rakyatnya yang sangat ramai untuk menyerang Melaka melalui hulu Pahang. Apabila Sultan Muzaffir Syah mendengar berita tentang rancangan serangan Siam itu, baginda pun menghimpunkan rakyat Melaka dari segenap pelusuk negeri. Tun Perak dari Kelang telah datang membawa bersama-sama dengan anak isteri masing-masing. Pada masa itu, Seri Amerta dilantik oleh sultan sebagai bentara kerana kecerdikan dan kepetahannya berkata-kata.


Seri Amerta telah diminta oleh sultan untuk menyiasat tindakan Tun Perak tersebut. Tindakan Tun Perak itu dipersoalkan sebanyak tiga kali oleh Seri Amerta. Tun Perak meminta Seri Amerta jangan mencampuri urusan orang lain. Baginda menjelaskan sekiranya orang Kelang yang datang dari jauh itu ditemani anak isteri masing-masing, mereka akan berperang dengan lebih bersemangat. Apabila hal ini disampaikan kepada Duli Yang diPertuan, baginda amat bersetuju dengan tindakan Tun Perak itu lalu menitahkan Tun Perak terus bermastautin di Melaka. Apabila serangan Siam itu telah dapat dipatahkan, Tun Perak telah dijadikan sebagai bentara di Melaka.


Tidak lama kemudian Seri Amerta menyuruh Tun Perak menghadap kerana ada seorang orang Kelang mengadu bahawa dirinya dianiayai oleh Tun Perak. Setelah disoal siasat, Tun Perak menyatakan bahawa Seri Amerta tidak memahami tugas dan tanggungjawab diamanahkan oleh Sultan. Sultan bersetuju dengan penjelasan Tun Perak lalu melantiknya sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja yang setaraf dengan Seri Nara Diraja.


Seri Nara Diraja sudah tua dan tidak mempunyai anak lelaki,hanya ada seorang anak perempuan yang bernama Tun Putih hasil perkahwinan dengan anak bendahara. Setelah isterinya itu mangkat barulah Seri Nara Diraja mengakui bahawa baginda mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Tun Nina Madi hasil perhubungan dengan gundik istana.


Pada masa itu masyarakat Melayu telah berpecah kepada dua puak iaitu puak Paduka Raja dan puak Seri Nara Diraja kerana kedua-duanya mempunyai taraf yang sama. Kedua-dua orang besar ini tidak dapat bekerjasama kerana berbeza pendapat. Apabila hal ini diketahui oleh Sultan Muzaffir Syah, baginda amat kecewa kerana bimbang negara akan lemah jika pembesarnya saling tidak bermuafakat. Baginda telah memikirkan jalan penyelesaian dengan mencai jodoh baru kepada Seri Nara Diraja, tetapi semuanya telah ditolak oleh Seri Nara Diraja sehinggalah dia dijodohkan dengan Tun Kudu anak perempuan Bendahara Seri Wak Raja, saudara kepada Paduka Raja. Justeru, hubungan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja kembali baik apabila baginda bersetuju supaya Paduka Raja dilantik sebagai bendahara manakala Seri Nara Diraja menjadi penghulu bendahari.


Tidak lama kemudian orang Siam di bawah pimpinan Awi Dicu menyerang Melaka. Sultan mengetahui hal tersebut lalu menitahkan Paduka Raja dengan diiringi Seri Bija Diraja dan segala hulubalang untuk mempertahankan Melaka. Anak Seri Bija Diraja bernama Tun Umar yang berkelakuan aneh telah disuruh melanggar perahu pihak Siam, tiga buah perahu Siam telah dikalahkan dengan hanya sebuah perahunya. Pihak Siam menjadi takut dan membatalkan hasrat menyerang Melaka. Bendahara Paduka Raja menggunakan strategi memasangkan puntung api pada pokok-pokok di sepanjang pantai seolah-olah banyak perahu perang Melaka yang dibawa untuk mempertahankan Melaka. Angkatan perang Siam telah berundur. Setelah pihak Siam berundur, Bendahara Paduka Raja dan orang-orangnya telah dianugerahkan persalinan yang mulia.


Walau bagaimanapun, berita kegagalan serangan Siam itu sampai ke pengetahuan Paduka Bubunnya, raja Siam itu amat marah dan diri sendiri membuat keputusan untuk menyerang Melaka tetapi anaknya Cau Pandan menawarkan diri untuk menyerang Melaka. Raja Siam bersetuju lalu menggunakan lapan ratus buah kapal perang besar dan banyak kapal perang kecil di bawah pimpinan Pra Kelong untuk membantu Cau Pandan menyerang Melaka. Apabila berita rancangan Siam untuk menyerang Melaka itu diketahui oleh sultan Melaka, Sidi Arab yang mempunyai kesaktian ilmu memanahnya telah memanah Cau Pandan yang berada di Siam. Akhirnya Cau Pandan yang belum sempat menyerang Melaka itu telah terkena panahan tersebut di dada, telah muntah darah lalu mati. Kesaktian Sidi Arab itu amat dihargai sultan dan diberi ganjaran yang setimpalnya.


Setelah empat puluh dua tahun Sultan Muzaffir Syah memerintah Melaka, akhirnya baginda mangkat dan digantikan oleh anaknya Raja Abdullah gelaran Sultan Mansur Syah. Ketika menaiki takhta, Sultan Mansur Syah berusia 27 tahun. Baginda beristerikan anak Seri Nara Diraja iaitu Tun Putih Nur Pualam. Baginda seorang raja yang kacak, adil, dan murah hati yang tiada tolok bandingnya pada masa itu.


TEMA

Keghairahan Siam menyerang Melaka tanpa menilai kelemahan diri sendiri dan menyiasat kekuatan pihak lawan terlebih dahulu sebelum mengatur serangan.


PERSOALAN

1.         Kebijaksanaan Tun Perak dalam mengatur strategi menghalang serangan dari Siam

Tun Perak membawa rakyat dari Kelang bersama-sama anak isteri untuk menaikkan semangat berperang Tun Perak mengikat puntung api pada pokok bakau, pokok nyirih dan pokok api-api di sepanjang pantai bagi menakutkan pihak musuh.

2.         Semangat tidak mudah berputus asa.

Siam mengatur serangan ke atas Melaka sebanyak tiga kali walaupun kesemua percubaan tersebut menemui kegagalan.

3.         Kepentingan permuafakatan antara pemimpin memperkukuh ketahanan negara.

Konflik antara Tun Perak dengan Seri Nara Diraja telah menyebabkan masyarakat berpecah yang boleh melemahkan kekuatan negara.

4.         Perkahwinan dapat mengeratkan perhubungan persaudaraan.

Contohnya, Sultan telah menjodohkan Tun Kudu anak saudara Tun Perak dengan Sri Nara Diraja.

5.         Tanggungjawab melaksanakan tugas masing-masing tanpa mencampuri urusan orang lain

Tun Perak meminta Seri Amarta tidak mencampuri urusannya dan mempersoalkan sesuatu tindakan yang diambil.

6.         Merahsiakan sesuatu perkara bagi mengelakkan konflik dalam keluarga.

Seri Nara Diraja merahsiakan anak hasil hubungannya dengan gundik bagi mengelakkan berkonflik dengan isteri

7.         Unsur kesaktian dalam peperangan

Sidi Arab mempunyai kesaktian dalam ilmu memanah. Beliau telah memanah dari Melaka sehingga dapat membunuh Cau Pandan yang berada di benua Siam.


PLOT

Permulaan


Persiapan rakyat Melaka menghadapi ancaman pertama daripada Siam.

Perkembangan


Pemerintahan Sultan Muzaffar Syah di Melaka dan kebijaksanaan Tun Perak dalam pelbagai perkara.


Konflik


1.         Antara Tun Perak dengan orang Kelang yang mengadu.

2.         Antara Tun Perak dengan Seri Nara Diraja yang tidak sehaluan.

Klimaks


Sultan menceraikan Tun Kudu untuk dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja.

Peleraian


Kemangatan Sultan Muzaffar Syah.


WATAK DAN PERWATAKAN

Sultan Muzaffar Syah

1.         Pemerintah negeri Melaka.


2.         Baginda tegas dalam mentadbir negerinya.


3.         Berpandangan jauh. Melantik Tun Perak sebagai pembesar kerana dapat melihat ciri-ciri kepemimpinan pada diri Tun Perak.


4.         Baginda adil dalam pemerintahannya. Baginda tidak terburu-buru dalam menjatuhkan hukuman apabila menerima aduan orang Kelang berkenaan Tun Perak.


5.         Baginda juga bijaksana. Baginda mengahwinkan Tun Kudu dengan Seri Nara Diraja bagi menyelesaikan perselisihan antara Seri Nara Diraja dengan Bendahara Paduka Raja.


Tun Perak (Bendahara Paduka Raja)

1.         Tun Perak amanah dalam menjalankan tugas. Tun Perak bersedia meletakkan jawatan sekiranya sultan beranggapan beliau gagal melaksanakan tugasnya.


2.         Beliau taat akan raja. Tun Perak mentaati perintah Sultan Muzaffar Syah supaya membuat persiapan untuk mengusir tentera Siam yang berada di Batu Pahat.


3.         Tun Perak juga bijaksana. Tun Perak mengarahkan anak-anak buahnya memasang puntung api pada setiap pokok bakau untuk memperdayakan angkatan tentera Siam.


4.         Beliau berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan. Tun Perak tidak terburu-buru menjawab pertanyaan Seri Amerta kerana beliau berhati-hati dalam berbicara.

Seri Nara Diraja

1.         Beliau memegang jawatan sebagai penghulu bendahari.


2.         Seri Nara Diraja takut akan isterinya. Beliau hanya mengakui Tun Nina Madi sebagai anaknya selepas kematian isterinya.


3.         Seri Nara Diraja sering berselisih pendapat dan tidak sepakat dengan Paduka Raja (Tun Perak)


4.         Walaupun sudah tua, beliau berkahwin dengan Tun Kudu, bekas isteri Sultan Muzaffar Syah yangg juga saudara Tun Perak.


LATAR

Latar Masa


1.         Zaman Kesultanan Melayu Melaka, pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.


2.         Waktu malam – waktu Awi Dicu hendak menyerang Melaka dan Bendahara Tun Perak serta penduduk Melaka menyalakan puntung api.

Latar Tempat


1.         Melaka – tempat istana pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.


2.         Kelang – Tempat Tun Perak memerintah sebagai Penghulu.


3.         Hulu Muar – tempat rotan mengikat barang dibuang oleh angkatan Siam.


4.         Batu Pahat – tempat orang Siam membuat perigi.


Latar Masyarakat


1.         Masyarakat yang taat akan pemerintah – pembesar dan rakyat Melaka taat titah perintah baginda sultan.


2.         Masyarakat yang bersatu – penduduk Melaka bersatu tenaga mempertahankan Melaka daripada serangan Siam.


3.         Masyarakat yang bijaksana – Tun Perak bijak mengatur strategi dalam menghadapi angkatan perang Siam.


4.         Masyarakat yang berani – Tun Umar berani menghendap dan menyerang beberapa buah perahu Siam.


5.         Masyarakat yang berilmu – Tuan Sidi Arab mempunyai ilmu tentang kemahiran memanah.


GAYA BAHASA

1.         Bahasa istana – tuanku, patik, titah


2.         Penggandaan – perahu kecil-kecil


3.         Bahasa Arab – Allah, fiil


4.         Bahasa klasik – syahadan, hatta


5.         Simile – seperti saudara sejalan jadi


6.         Sinkope – ku, mu, tak


NILAI

1.         Keberanian – Tun Umar berani melanggar perahu Siam yang ingin menyerang Melaka.


2.         Kebijaksanaan – Tun Perak bijak mengatur strategi menghadapi serangan Siam.


3.         Keadilan – Sultan Muzaffar Syah bertindak adil dalam mendamaikan dua orang pembesar yang tidak sehaluan.


4.         Tanggungjawab – pembesar dan rakyat Melaka bertanggungjawab mempertahankan Melaka daripada serangan Siam.


5.         Rasional – Tun Perak memberi alasan yang rasional apabila diajukan soalan oleh Seri Amerta tentang aduan orang Kelang.


PENGAJARAN

1.         Kita hendaklah menjalankan pemerintahan secara adil dan saksama.


2.         Kita hendaklah berani menentang musuh atas prinsip kebenaran.


3.         Kita sewajarnya bertindak rasional apabila menghadapi masalah.


4.         Kita mestilah menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.


5.         Kita mestilah mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.


.